• Home
  • Utamakan Kerjasama Antara Sektor Kesihatan, Tambah Guru PPKI

Utamakan Kerjasama Antara Sektor Kesihatan, Tambah Guru PPKI

Salah satu cabaran yang disebut dalam Kertas Putih Kesihatan adalah keberadaan cara penyediaan perkhidmatan kesihatan yang adil, serta penekanan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan asas seperti klinik. Harga yang mampu dibayar untuk perkhidmatan kesihatan awam adalah sangat penting bagi masyarakat.

Namun, di Malaysia, 34.2% daripada perbelanjaan kesihatan semasa (CHE) ialah pembayaran sendiri oleh orang awam. Ini lebih tinggi daripada purata perbelanjaan kesihatan “bayar sendiri” di negara-negara berpendapatan sederhana tinggi lain seperti Thailand dan Turki yang masing-masing hanya 8.7% dan 16.9%. Kesesakan dan waktu menunggu yang panjang di klinik kesihatan awam adalah salah satu sebab mengapa banyak pesakit berpendapatan rendah dan sederhana beralih ke klinik kesihatan swasta yang meningkatkan risiko kewangan mereka.

Selain itu, peralatan penjagaan kesihatan asas sektor awam hanya menyumbang 28% daripada jumlah peralatan penjagaan kesihatan asas, sementara sektor swasta menyumbang 72%. Namun, peralatan penjagaan kesihatan asas sektor awam perlu menangani 64% daripada jumlah pesakit, sementara hanya 36% pesakit memilih untuk mendapatkan rawatan di sektor swasta. Ini jelas menunjukkan bahawa sektor kesihatan awam menanggung beban yang berat dan peralatan penjagaan kesihatan asas perlu dirancang sesuai dengan pertumbuhan populasi setempat.

Oleh itu, selain daripada membina klinik kesihatan awam atau menaik taraf klinik yang sedia ada, kerjasama rapat antara sektor awam dan swasta sangat penting untuk mengurangkan beban klinik kesihatan awam serta mengurangkan kesesakan, selain mengurangkan risiko kewangan pesakit.

Dalam Kertas Putih, kita tidak menemui unsur yang melibatkan masalah pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak. Kita kini menghadapi cabaran peningkatan jumlah kanak-kanak dengan masalah perkembangan dan pembelajaran, termasuk autisme, disleksia, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), sindrom down, epilepsi dan penyakit genetik. Data statistik terbaru 2023 menunjukkan bahawa satu dalam setiap 44 kanak-kanak adalah kanak-kanak autisme.

Namun, disebabkan kekurangan kakitangan pemulihan dan guru keperluan khas, banyak ibu bapa tidak dapat mendapatkan rawatan awal yang diperlukan untuk anak-anak mereka.

Kertas Putih menekankan betapa pentingnya kerjasama dan koordinasi antara sektor. Masalah pembelajaran dan perkembangan ini memerlukan pendekatan “seluruh kerajaan” untuk mempromosikan koordinasi dan kerjasama antara pelbagai sektor dan agensi kerajaan.

Contohnya, terdapat kanak-kanak yang hanya menerima satu sesi terapi pertuturan setiap tiga hingga enam bulan di hospital. Di pusat terapi swasta, kanak-kanak mungkin perlu menunggu tiga hingga lapan bulan untuk mendapatkan intervensi. Dalam bidang pendidikan, disebabkan oleh kekurangan guru pendidikan khas, terdapat kanak-kanak yang tidak dapat masuk ke dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah kebangsaan.

Oleh itu, saya mencadangkan agar kerajaan menyediakan lebih banyak latihan praktikal dan kursus yang diiktiraf untuk membantu orang awam menjadi guru keperluan khas. Selain itu, saya juga berharap bahawa kerajaan dapat mencipta lebih banyak polisi insurans untuk kanak-kanak keperluan khas untuk mengurangkan kebimbangan ibu bapa dan memudahkan mereka mendapatkan diagnosis dan rawatam yang diperlukan.

Akhirnya, saya menyambut baik penubuhan pasukan kerja “Kesihatan dalam Semua Polisi” yang melibatkan pelbagai pihak seperti yang ditekankan oleh Kertas Putih. Pasukan kerja ini bertanggungjawab untuk menyelaraskan dan melaksanakan polisi dan program kesihatan yang melibatkan pelbagai pihak. Ini sangat penting untuk menyokong kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran dan membolehkan mereka menghadapi cabaran masa depan dengan lebih efektif.

Sumber Gambar Cover: Kwong Wah

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758