• Home
  • Usul Kajian Kesan Mekanisme Undi 18 Diluluskan Sebulat Suara

Usul Kajian Kesan Mekanisme Undi 18 Diluluskan Sebulat Suara

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kali ini, saya bersama ADUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad  telah mengemukakan usul khas di mana kami meminta DUN Johor  meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk mengkaji kesan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik terhadap kawasan pilihan raya yang sedia ada. 

Ini merupakan kali keempat parti pembangkang mengemukakan usul khas di DUN Johor dan juga kali pertama usul khas diluluskan berdasarkan konsensus kedua-dua pihak. Ini membenarkan DUN untuk membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas untuk mengkaji kesan mekanisme Undi 18 dan mengemukakan cadangan reformasi.

Sebagai penyokong usul, saya turut mengambil bahagian dalam perdebatan dan menyampaikan pandangan saya.

Persempadanan Kawasan Pilihan Raya yang Tidak Adil

Di Johor kalau saya ambil tahun 2018, Pilihan Raya Umum Yang Ke-14, Johor terdapat 1,817,999 pemilih. Secara puratanya adalah dibahagi dengan 56, setiap DUN sepatutnya mengandungi kira-kira 32,464 pemilih. Walaubagaimanapun, apabila kita meneliti bilangan pemilih di setiap DUN, kita dapati bahawa terdapat 38 DUN yang jauh lebih rendah bilangan pemilih dia berbanding dengan angka purata ini. 7 DUN adalah 2 kali ganda angka purata, 7 DUN lebih kurang 1 perpuluhan kali ganda ataupun lebih kurang, lebih daripada angka purata ni 15,000. Hanya 4 DUN yang lebih kurang sama dengan angka purata ini. Sebagai contoh, Skudai pada PRU Ke-14 merupakan kawasan DUN yang mempunyai pemilih yang paling ramai, dengan jumlah pemilih sebanyak 70,928 pemilih. Kalau berbanding DUN yang paling kurang, paling kecil bilangan dia, DUN Bukit Naning hanya 17,834 pemilih, jumlah pemilih DUN Skudai adalah 4 kali ganda berbanding dengan Bukit Naning.

Sebenarnya DUN Skudai ini, dia adalah dua kali ganda bilangan pemilih di kawasan Parlimen. Saya ambil contoh Parlimen Labis, pemilihnya hanya 40,356 pemilih. Kita faham bahawa mutu perkhidmatan seseorang ADUN, dia berkait rapat dengan sumber yang kita taburkan, pelbagai sumber itu termasuklah sumber kewangan yang ada dan bilangan kakitangan pejabat atau pembantu yang mampu diupah untuk membantu Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menguruskan kawasan. 

Peruntukan Kawasan Tidak Dapat Menampung Perbelanjaan Perkhidmatan

Buat masa sekarang di Skudai mempunyai 73,000 pemilih, tidak termasuk lagi ramai pengundi-pengundi luar, luar, negeri luar dan juga ada warga luar negara yang menetap di Skudai mencecah lebih kurang 200,000 penduduk. Kalau kita bahagikan sama rata pemberian terus yang disalurkan oleh pihak kerajaan, RM50,000.00 dibahagi dengan 73,000 makna setiap pemilih layak menerima RM0.68 sahaja. Kalau dibahagi dengan jumlah penduduk, setiap penduduk hanya layak menerima RM0.25 sahaja.

Untuk peruntukan pentadbiran sebanyak RM50,000.00 setahun, maknanya sebulan lebih kurang RM4,166.00, sewa dah RM1,500.00, RM1,000.00 hingga RM1,500.00, utiliti lebih kurang ratus, yang baki RM2,000.00 sebagai upah untuk membayar gaji pembantu dan kerani. Di manakah kalau kita nak mengupah seorang lepasan universiti dengan gaji hanya RM2,000.00 sekarang? Kini, pejabat ADUN Skudai setiap minggu menerima lebih kurang 150 aduan ataupun persoalan ataupun pelbagai urusan, tidak termasuk lagi sekiranya ada kerajaan ada mengumumkan apa-apa pelaksanaan dasar yang baharu. Sebagai contoh dalam tempoh Bantuan IHSAN Johor pada tahun lepas Skudai telah, pejabat ADUN Skudai telah menguruskan lebih 100,000 permohonan dan menyalurkan kepada Pejabat Menteri Besar untuk diluluskan. Untuk kapasiti ini, sekurang-kurangnya 4 hingga 8 kakitangan ataupun pembantu perlu diambil supaya perkhidmatan yang bermutu dapat diteruskan di untuk pemilih di DUN Skudai. 

Kesan Undi 18 dan Pendaftaran Automatik 

Jika Undi 18 dan pendaftaran automatik dilaksanakan, di Johor terdapat 2,600,000 pemilih dan di Skudai saya jangka akan lebih daripada 105,000 pemilih. Jumlah ini adalah lima kali ganda bilangan pengundi di kawasan DUN Bukit Naning dan dua kali ganda bilangan pengundi di kerusi Parlimen Labis.

Oleh itu, saya meminta agar peruntukan kawasan DUN mempertimbangkan tiga perkara, iaitu taburan bilangan pemilih ataupun penduduk. Kedua, sosioekonomi di sesebuah kawasan tersebut iaitu sama ada di kawasan bandar dan kawasan luar bandar. Di mana kos sara hidup berlainan dan permintaan dari segi gaji ada perbezaan dan ketiga, kedudukan geografi seperti di Johor Bahru, kita perlu bersaing dengan Singapura.

Cadangan

Untuk menghadapi peningkatan bilangan pengundi yang drastik akibat pendaftaran pengundi automatik berusia 18 tahun, saya mencadangkan setiap kawasan DUN harus mempunyai peruntukan minimum, jumlah peruntukan minimum adalah kira-kira RM200,000.

Sementara itu, berdasarkan peruntukan minimum RM200,000, peruntukan tambahan untuk setiap kawasan harus ditambah, saya dengan ini memberi dua cadangan:

Pertama, kawasan DUN di kawasan bandar biasa harus menambah 50% peruntukan kawasan, sementara kawasan DUN bandar di Johor Bahru perlu menambah peruntukan kawasan sebanyak dua kali ganda, terutamanya meningkatkan peruntukan operasi kawasan.

Untuk memenuhi harapan pengundi dan memastikan kualiti perkhidmatan, peruntukan operasi kawasan harus berdasarkan bilangan penduduk. Sebagai contoh, kerajaan negeri boleh menetapkan peraturan, bagi setiap 20,000 penduduk, ADUN boleh mengupah seorang pembantu.

Atau

Kedua, berdasarkan purata bilangan pengundi setiap kawasan DUN (46,541 orang), jika bilangan pengundi melebihi purata keseluruhan kawasan DUN, kerajaan negeri perlu menyediakan peruntukan tambahan untuk kawasan tersebut untuk menjamin kualiti perkhidmatan pengundi.

Kedua-dua cadangan tersebut juga boleh digunakan untuk peruntukan bantuan seacara langsung dan peruntukan aktiviti kawasan DUN.

Kesimpulan

Persempadanan kawasan pilihan raya yang tidak adil menyebabkan beberapa kawasan menjadi kawasan besar, masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan segera. Menurut Perlembagaan Persekutuan, persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya boleh dilakukan setiap lapan tahun dan persempadanan semula adalah pada tahun 2018. Suruhanjaya Pilihan Raya hanya dapat memulakan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2026. Sementara itu, jurang antara kawasan bandar dan luar bandar serta jumlah wakil rakyat bagi setiap kawasan memerlukan lebih banyak perbincangan dalam masyarakat.

Masalah persempadanan kawasan pilihan raya yang tidak adil tidak dapat diselesaikan dengan segera, sebagai solusi tempoh peralihan, Dewan Undangan Negeri Johor harus membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas untuk mengkaji secara mendalam kesan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik terhadap setiap kawasan pilihan raya yang sedia ada selain melakukan kajian mendalam untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pejabat wakil rakyat.

Sebagai penyokong usul, saya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dewan dari kedua-dua pihak atas kerjasama dalam isu ini. Saya berharap Jawatankuasa Pilihan Khas dapat mengkaji dengan teliti dan mengemukakan cadangan reformasi untuk memastikan semua pengundi mendapat manfaat daripadanya.

Sumber Gambar Cover: IDEAS

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758