• Home
  • Pembangunan Hartatanah di Sireh Park Tidak Boleh Mempinggirkan Pemeliharaan Alam Sekitar

Pembangunan Hartatanah di Sireh Park Tidak Boleh Mempinggirkan Pemeliharaan Alam Sekitar

1. Saya menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Johor Bahru dan Kulai 2025 (Pengubahan 3) yang diadakan di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri bagi membantah cadangan pindaan zoning sebahagian Sireh Park daripada taman rekreasi kepada zon perniagaan. 

2. Draf Laporan Addendum Rancangan Tempatan Daerah Johor Bahru dan Kulai 2025 (Pengubahan 3) dalam kawasan MBIP telah mencadangkan pengubahan sebahagian zoning Sireh Park dari kategori tanah rekreasi ke kategori perniagaan.

3. Keluasan yang terlibat dalam draf laporan RTDJB-KU adalah 14.02 hektar, iaitu 5.85% dari 239.58 hektar dan bangunan komersial akan dimiliki Tetuan Nusajaya Greens Sdn. Bhd..

4. Sireh Park sekarang ialah tempat rekreasi yang memberikan kemudahan kepada penduduk Johor Bahru untuk beriadah dan bersukan seperti jogging, berbasikal dan bersenam.

5. Kawasan hijau “paru-paru kota”  boleh meningkatkan kualiti kehidupan di bandar dengan menjamin udara bandar dalam tahap yang memuaskan termasuk memastikan tahap oksigen yang stabil dan tahap karbon dioksida yang rendah.

6. Garis Panduan Perancangan Perumahan (PLAN Malaysia) telah menetapkan sasaran perlunya menyediakan kadar dua hektar kawasan lapang termasuk tanah lapang, taman rekreasi dan kemudahan rekreasi awam bagi setiap 1,000 penduduk.

7. Menurut statistik daripada DOSM, Johor Bahru mempunyai lebih kurang 160 ribu penduduk pada tahun 2019. Ini bermaksud 3,200 hektar kawasan lapang diperlukan untuk mencapai sasaran pembangunan mampan.

8. Namun begitu, walaupun mengambil kira semua hutan bandar dalam Johor Bahru seperti Sireh Park, Hutan Bandar Taman Mutiara Rini, Hutan Bandar Taman Impian Emas, Taman Awam Hutan Bandar, Taman Merdeka dan Laman Tasek Pandan), keluasan kawasan hijau dalam bandar juga tidak dapat mencapai matlamat Plan Malaysia serta memastikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar terjamin.


Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sireh-park-tarikan-pelancongan-terbaharu-di-johor-354866?

9. 17 Matlamat Pembangunan Lestari yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menetapkan pembangunan mesti mencapai keseimbangan dengan pemeliharaan alam sekitar. Cara pertumbuhan ekonomi melalui hartatanah dan pembinaan perlu berubah ke arah pembangunan mampan yang lebih inklusif.

10. Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sedang berusaha menggerakkan agenda ekonomi hijau termasuk sedang mengkaji pelaksanaan cukai karbon. Oleh yang demikian, kerajaan perlu mengkaji kesan pembangunan di Sireh Park yang akan membawa impak kepada usaha pengurangan pelepasan intensiti karbon.

11. Impak pembangunan di Sireh Park terhadap kawasan terdekat seperti Medini, Nusa Idaman, Horizon Hills dan Forest City juga perlu dikaji dengan teliti kerana banyak kekosongan hartatanah komersial dan kediaman di lokasi tersebut.

12. Johor di kedudukan pertama dengan bilangan hartanah tidak terjual 6,509 unit yang bernilai RM4.89 bilion. Persoalannya, adakah pembangunan tersebut akan menambah bilangan hartanah yang tidak terjual?

13. Pada hemat saya, kawasan hijau tidak patut dipinggirkan demi pembangunan hartatanah. Justeru, kerajaan tidak perlu mengubah kategori zoning tergesa-gesa untuk pembangunan bangunan komersial dengan mengorbankan kawasan hijau.

– TAMAT –

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758