• Home
  • Tingkatkan Kualiti Pengajaran dan Minat Pelajar dalam Sains dan Matematik

Tingkatkan Kualiti Pengajaran dan Minat Pelajar dalam Sains dan Matematik

Saya merujuk kepada cadangan Tun Mahathir untuk menguatkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pendidikan Sains dan Matematik walaupun kandungannya perlu dipertimbangkan. Saya bersetuju bahawa memperkuatkan pengajaran sains dan matematik adalah perkara yang mendesak dalam sistem pendidikan kebangsaan untuk memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0 negara.

Pengajaran setiap subjek mempunyai sistem dan metodologi tersendiri dan langkah pertama yang paling penting adalah membangkitkan minat pelajar terhadap pembelajaran sains dan matematik.

Untuk memulakan sesuatu yang besar, setiap perancangan dasar harus bermula daripada asasnya dengan utamakan usaha untuk membangkitkan minat belajar di kalangan pelajar agar mereka mempunyai keinginan untuk mengetahui dan menimba pengetahuan secara aktif sebelum memperdalam kajian tentang pengajaran sains dan matematik negara lain.

Masalah paling serius yang dihadapi oleh bidang pendidikan sains dan matematik di negara kita adalah penurunan bilangan pelajar yang belajar sains dan matematik. Menurut statistik Kementerian Pendidikan Malaysia, jumlah pelajar dalam kelas sains di Malaysia telah menurun daripada 200,000 pelajar pada tahun 2012 ke 170,000 pelajar pada tahun 2018. Ini bermakna bilangan pelajar yang memasuki aliran sains menurun dengan kadar 6,000 pelajar setiap tahun.

Menurut YBrs. Prof. Madya Dr. Wan Zuhanis Saad, Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, bilangan pelajar yang memilih untuk belajar sains berkurangan setiap tahun, hanya 10.7% pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun 2018 adalah pelajar sains.

Kerajaan Persekutuan telah menetapkan sasaran nisbah pelajar sains dan sastera di negara ini adalah 60% sastera dan 40% sains untuk memenuhi keperluan pembangunan dan daya saing negara pada masa depan.

Oleh itu, ketika kita membincangkan semula penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, apa yang perlu kita pertimbangkan adalah sama ada penggunaan Bahasa Inggeris dalam mengajar sains dan matematik dapat membangkitkan minat pelajar terhadap sains dan matematik dan seterusnya meningkatkan bilangan pelajar yang memasuki aliran sains dan akhirnya meningkatkan daya saing negara?

Menurut Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), sebuah kajian yang dilakukan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2009 menunjukkan bahawa pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris menyebabkan penurunan prestasi pelajar sebanyak 80%. Data Kementerian Pendidikan pada tahun 2009 juga menunjukkan bahawa polisi pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris yang telah dilaksanakan selama 6 tahun tidak menunjukkan hasil yang signifikan, di mana keberhasilannya hanya sekitar 2-3%.

Jelasnya bahawa peningkatan minat dan prestasi dalam sains dan matematik bukan ditentukan oleh bahasa, tetapi pada model pengajaran.

Pengajaran abad ke-21 merupakan cabaran besar bagi pendidik, kuncinya adalah “pengajaran berdasarkan eksperimen” yang membolehkan pelajar melibatkan diri secara aktif. Pelajar dapat melakukan eksperimen serta merasai kegembiraan daripada penyelidikan dan hasil sains dan seterusnya membangkitkan lebih banyak keingintahuan dan minat terhadap sains, bukannya pendidikan yang bersifat menghafal.

Ini juga memerlukan Kementerian Pendidikan untuk menyediakan latihan yang cukup kepada guru supaya guru juga dapat mengubah cara penilaian yang bergantung kepada peperiksaan. Kini, cara alternatif penilaian perlu dijalankan melalui eksperimen, tugasan dan projek. 

Pada masa yang sama, guru juga bertanggungjawab untuk membangkitkan kesedaran di kalangan pelajar tentang kepentingan dan aplikasi ilmu yang dipelajari, bukan sekadar belajar secara buta.

Kita juga perlu membuat perancangan jangka panjang yang dipimpin oleh Kementerian Pendidikan dengan menggabungkan kekuatan masyarakat. Dengan bantuan dana kerajaan dan pembiayaan swasta untuk meningkatkan sains dan laboratorium sekolah, sekolah dapat membeli peralatan yang sesuai dengan keperluan masa kini untuk memenuhi keperluan pengajaran.

Pendidikan asas kebangsaan adalah untuk semua dan perlu mempertimbangkan keperluan umum masyarakat, bukan semua orang dapat menguasai tiga bahasa pada peringkat sekolah rendah. Dokumen polisi UNESCO juga menunjukkan bahawa penggunaan bahasa ibunda dalam pengajaran adalah cara yang paling efektif untuk menyerap pengetahuan asas dan mencipta syarat untuk pembangunan masa depan.

Dalam era digital, bagi ibu bapa yang bersedia menerima pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan juga boleh cuba menjalankan model pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris secara dalam talian dan membolehkan mereka yang berminat untuk belajar sendiri.

Oleh itu, dalam sistem pendidikan kebangsaan, setiap dasar yang berkaitan dengan sains dan matematik harus dipertimbangkan secara menyeluruh dan mendapatkan nasihat daripada pakar profesional serta ahli dalam pelbagai bidang bagi mencari konsensus umum dalam masyarakat untuk mendorong reformasi pendidikan agar pelajar Malaysia lebih berminat dalam pembelajaran sains dan matematik untuk menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Sumber Gambar Cover: Utusan Malaysia

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758