• Home
  • SOSMA Kikis Kebebasan Rakyat

SOSMA Kikis Kebebasan Rakyat

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang melibatkan penahanan tanpa bicara telah diluluskan di Parlimen oleh ahli parlimen kerajaan semalam. Akta zalim yang melanggar kebebasan bersuara rakyat ini menunjukkan bahawa Barisan Nasional dan Perikatan Nasional tidak memiliki sebarang keinginan untuk mereformasi.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun selepas undi belah bahagian, dengan menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju, 88 Ahli Parlimen tidak bersetuju. Ini bermakna peruntukan yang membenarkan polis menahan suspek tanpa bicara sehingga 28 hari dan tidak membenarkan suspek berhubung dengan peguam atau keluarga dalam masa 48 jam akan dilanjutkan selama 5 tahun lagi.

Berdasarkan rekod sedari tahun 2016 hingga 2022, sebanyak 3,717 individu telah ditahan di bawah SOSMA. Namun, hanya 126 individu didakwa mengikut Kanun Keseksaan, dan 552 didakwa di bawah kesalahan penyeludupan migran, iaitu 18% daripada keseluruhan kes.

Penegasan telah dibuat berulang kali bahawa kerajaan tidak akan menggunakan SOSMA untuk menahan individu berdasarkan kepercayaan dan kegiatan politik, namun rekod menunjukkan aktivis seperti Maria Chin, Khalid Ismath dan ahli-ahli politik telah menjadi mangsa SOSMA, termasuk kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang melibatkan anggota DAP.

SOSMA diperkenalkan pada era Najib, dan pada tahun 2019, Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu telah mengkhianati manifesto Pakatan Harapan dengan tidak memansuhkan peruntukan tahanan tanpa bicara yang tidak wajar wujud di SOSMA. Ini menyebabkan Pakatan Harapan mendapat pelbagai kecaman.

Pendirian DAP tetap konsisten, iaitu menentang sekeras-kerasnya undang-undang yang mengikis keadilan dan kebebasan rakyat. Oleh itu, kelulusan SOSMA membuktikan Barisan Nasional atau Perikatan Nasional tidak memiliki keinginan untuk reformasi disebabkan oleh tindakan mereka yang terus mengikis keadilan dan kebebasan rakyat.

Pihak polis seharusnya meningkatkan profesionalisme dalam penyiasatan dan mengenal pasti risiko keamanan negara berdasarkan bukti yang mencukupi, bukan menggunakan SOSMA untuk menahan tanpa bicara. Tindakan demikian akan menyebabkan ketakutan di kalangan rakyat.

Sumber Gambar Cover: BERNAMA

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758