• Home
  • Rakyat Malu Tolak UMNO? Zahid Tunjuk UMNO Angkuh

Rakyat Malu Tolak UMNO? Zahid Tunjuk UMNO Angkuh

Setiap parti politik, baik pihak kerajaan mahupun pembangkang, tidak sepatutnya menganggap sokongan pengundi sebagai perkara yang pasti, mereka harus memenangi kembali kepercayaan pengundi melalui prestasi.

Pengerusi Barisan Nasional dan UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan bahawa rakyat yang menolak UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan berasa malu dengan keadaan sekarang. Ucapan Ahmad Zahid ini bukan sahaja menunjukkan keangkuhan UMNO tetapi juga menunjukkan bahawa UMNO tidak melakukan introspeksi.

Baru-baru ini, Pengerusi Barisan Nasional dan UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, melalui Facebook, menyatakan bahawa UMNO telah belajar daripada kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan menyatakan bahawa rakyat yang menolak UMNO sudah berasa malu.

Ucapan Ahmad Zahid ini bukan sahaja menunjukkan keangkuhan UMNO tetapi juga tidak menghormati hak pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Rakyat kini lebih malu dengan pembentukan kerajaan pintu belakang yang mengkhianati rakyat.

Perselisihan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hingga ke tahap meminta putus hubungan adalah kerana ketidakpuasan hati pemimpin UMNO terhadap “parti kecil” PPBM yang mengurangkan kuasa mereka. Ini menunjukkan bahawa UMNO tidak pernah berhenti gila kuasa yang telah hilang.

UMNO tidak melakukan introspeksi selepas Pilihan Raya Umum ke-14, malah terus berbohong, termasuk memanipulasi kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dan isu Statut Rom untuk memecahbelahkan kesatuan rakyat.

Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan juga berkata bahawa langkah PN untuk meneruskan kes mahkamah terhadap UMNO adalah sesuatu tindakan yang zalim, adakah UMNO sebegini sedang melakukan proses introspeksi?

Sekarang, UMNO terus menekan untuk keluar daripada kerajaan Muhyiddin Yassin, seolah-olah hanya untuk membebaskan kluster mahkamah termasuk mantan Perdana Menteri Najib Razak, Pengerusi UMNO Ahmad Zahid Hamidi, dan Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan.

Syarikat perkhidmatan kewangan, Credit Suisse Malaysia, juga telah memperingatkan bahawa tindakan kerajaan membatalkan kes rasuah terhadap beberapa ahli politik akan merugikan negara.

Parlimen adalah tempat suci untuk berdebat polisi dan undang-undang oleh ahli parlimen daripada kedua-dua pihak. Parlimen juga akan mewujudkan keseimbangan peranan badan eksekutif dan perundangan dalam struktur pentadbiran negara. Oleh itu, saya menggesa Ahmad Zahid dan pemimpin UMNO yang lain untuk mengadakan sidang parlimen dan sidang Dewan Undangan Negeri untuk menunjukkan contoh demokrasi yang baik, daripada terus menekan Muhyiddin Yassin untuk mempermalukan dirinya sendiri.

Jika Ahmad Zahid dan para pemimpin UMNO hanya berteriak slogan di Facebook, ini hanya membuktikan bahawa “pengakuan dosa” Ahmad Zahid hanyalah lakonan dan menunjukkan kecintaan UMNO terhadap kekuasaan dan keangkuhan mereka.

Kekacauan politik kini telah menyebabkan rakyat berasa bosan terhadap ahli politik. Daripada terus berkata tanpa ilmu, semua parti politik, termasuk pihak kerajaan dan pembangkang, harus bekerja keras untuk memulihkan kepercayaan pengundi terhadap ahli politik dan memulihkan kembali kepercayaan masyarakat terhadap sistem demokrasi.

Sumber Gambar Cover: Kwong Wah

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758