• Home
  • Pas Diminta Introspeksi, Hentikan Budaya Ekstrem

Pas Diminta Introspeksi, Hentikan Budaya Ekstrem

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Tahunan Pas menyatakan bahawa Pas perlu memecahkan tembok pemisah di antara parti Pas dengan masyarakat bukan Islam di negara ini. Namun, Hadi Awang bersikap kura-kura di dalam perahu, pura-pura tidak tahu kerana tembok ini dibangun oleh Pas sendiri. Pas seharusnya mengambil tindakan untuk memecahkan tembok ini dan bukan hanya berkata-kata.

Bukannya masyarakat bukan Islam tidak pernah memberi peluang kepada Pas. Semasa Pas memperjuangkan konsep ‘Pas for all’ yang lebih liberal dari tahun 2008 hingga 2013, mereka telah mendapat sokongan penuh ahli bukan Islam.

Golongan bukan Islam atau bukan bumiputera di Malaysia hanya mengharapkan keadilan dan tidak ingin diperlakukan sebagai warga kelas dua. Mereka mengharapkan kebebasan di bawah perlembagaan tidak digadaikan.

Sejak Langkah Sheraton yang membolehkan Pas mendapat kuasa pemerintahan, berbagai kenyataan ekstrem Pas, seperti memperjuangkan RUU 355, menggesa pembatalan konsert, larangan jual alkohol, larangan  premis perjudian di Kedah, dakwaan bahawa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca gejala rasuah di Malaysia dan lain-lain, telah melanggar kebebasan bukan Islam.

Malaysia adalah negara yang berbilang kaum dan agama. Namun, Pas hanya menambahkan jurang dan dinding pemisah antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia dan bersikap acuh tak acuh terhadap masalah seperti kemusnahan alam sekitar, inflasi dan rasuah kerana Pas tidak menawarkan sebarang solusi.

Oleh itu, berbagai kenyataan dan tindakan ekstrem Pas yang terpisah dari realiti menunjukkan bahawa jika Pas ingin runtuhkan tembok, mereka harus lakukan introspeksi dan mengambil pendekatan yang lebih inklusif, menghentikan kenyataan ekstrem tentang kaum dan agama. Jika tidak, mereka tidak akan mendapat kepercayaan daripada golongan bukan Islam dan akan tetap ditolak.

Sumber Gambar Cover: Kwong Wah Yit Poh

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758