• Home
  • Menteri Besar Johor Digesa Menyatakan Pendirian Kerajaan Johor Mengenai Isu Perlesenan Penjualan Minuman Keras Di Kedai Kopi dan Restoran

Menteri Besar Johor Digesa Menyatakan Pendirian Kerajaan Johor Mengenai Isu Perlesenan Penjualan Minuman Keras Di Kedai Kopi dan Restoran

Dalam perkongsian Facebook semalam, Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan telah mengarahkan Jabatan Kastam untuk membatalkan dasar baharu perlesenan arak untuk restoran dan kedai kopi.

Namun begitu, menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul, kerajaan setakat ini tidak menarik balik sebarang kelulusan berkaitan perlesenan penjualan minuman keras ketika menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh YB Tony Pua Kiam Wee (DAP-Damansara) pada hari ini.

Wee digesa memohon maaf kepada seluruh rakyat kerana kenyataan beliau semalam telah menimbulkan kekeliruan para peniaga dan rakyat.

Sekiranya perlesenan penjualan minuman keras adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Perlesenan yang dilantik oleh Menteri Besar seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad perlu menyatakan pendirian Kerajaan Negeri mengenai isu perlesenan penjualan minuman keras di restoran dan kedai kopi.

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna, Khoo Kong Ek pernah mengeluarkan kenyataan pada bulan September bahawa Pejabat Daerah Johor Bahru telah membuat keputusan berkaitan semua restoran dan kedai kopi di Johor Bahru yang menjual bir – minuman yang beralkohol rendah perlu memohon Lesen Rumah Bir.

Proses permohonan penjualan minuman keras sekarang amat rumit. Kedai kopi/restoran yang menjual alkohol perlu memohon kelulusan dulu daripada pihak Bomba, PDRM, Jabatan Kastam dan PBT, barulah boleh memohon Lesen Rumah Bir di Pejabat Daerah. Proses kelulusan akan mengambil masa dalam 3 bulan hingga 6 bulan. 

Pejabat Daerah adalah agensi bawah Kerajaan Negeri Johor. Bagi mengelakkan kekeliruan para peniaga dan rakyat, Kerajaan Negeri Johor perlu menyatakan dasar terkini mengenai isu perlesenan penjualan minuman keras di kedai kopi dan restoran yang terletak di Negeri Johor.

Dasar perlesenan penjualan minuman keras akan mencabul kebebasan masyarakat bukan Islam dan membebankan pengusaha kedai kopi.

Oleh yang demikian, saya menyeru Kerajaan Negeri Johor tidak melaksanakan Dasar Lesen Rumah Bir di kedai kopi dan restoran di saat peniaga belum dipulih daripada kerugian teruk akibat perintah kawalan pergerakan dan penutupan sempadan.

Kenyataan Media oleh YB Tan Hong Pin, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Skudai (DAP) dan YB Cheo Yee How,  Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Perling (DAP)  di Johor Bahru pada 9hb Disember 2021.

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758