• Home
  • Malaysia Tidak Tersenarai Dalam Rancangan Kabel Dasar Laut Baharu Facebook, Transformasi Inudstri PN Gagal

Malaysia Tidak Tersenarai Dalam Rancangan Kabel Dasar Laut Baharu Facebook, Transformasi Inudstri PN Gagal

Baru-baru ini, Facebook tidak memilih Malaysia dalam perancangannya untuk memasang kabel dasar laut. Ini sekali lagi menunjukkan bahawa transformasi industri yang dibicarakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanyalah omong kosong. Tanpa peluru dan langkah sokongan yang cukup, PN telah membuang peluang emas untuk menarik pelabur asing.

Facebook mengumumkan tentang perancangannya memasang dua kabel dasar laut baharu untuk menghubungkan Singapura, Indonesia dan Amerika Utara bagi meningkatkan kapasiti keseluruhan sambungan internet Trans-Pasifik sehingga 70 peratus. Namun, kerajaan Malaysia tidak mengambil kesempatan ini dan membazir peluang begitu sahaja.

Pada tahun lepas, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan keputusan kerajaan membatalkan pemberian pengecualian dasar kabotaj untuk kapal asing bagi kerja pembaikan kerosakan kabel dasar laut. Ini menimbulkan kecaman daripada banyak syarikat gergasi internet dan menjejaskan persekitaran pelaburan Malaysia. Oleh itu, syarikat multinasional lebih sukar untuk memperluas pasaran ke Malaysia.

Malaysia Internet Exchange (MyIX) juga mendesak kerajaan Malaysia untuk segera memberi pengecualian dasar kabotaj untuk kapal asing yang melakukan kerja-kerja pembaikan kabel laut supaya pelabur asing tidak mengalir ke negara jiran.

Semasa kerajaan Pakatan Harapan memerintah, atas permintaan syarikat teknologi besar, kapal asing yang memperbaiki kabel laut diberikan pengecualian untuk berlabuh di pelabuhan negara mulai April 2019 untuk menggalak lebih banyak syarikat gergasi teknologi asing memilih Malaysia sebagai pusat “data center” dan “pejabat luar negera” mereka supaya Malaysia dapat memainkan peranan sebagai batu loncatan untuk perkembangan pasaran di Asia Tenggara.

Malaysia kini berada di persimpangan peningkatan dan transformasi industri. Syarikat-syarikat multinasional sedang melakukan penyusunan semula rantaian industri global untuk mengurangkan risiko yang dibawa oleh perang dagang AS-China dan pandemik. Ini adalah peluang emas bagi Malaysia untuk menarik pelabur asing.

Namun, pakej rangsangan fiskal dan bajet fiskal kerajaan Perikatan Nasional tidak menyediakan “peluru” yang cukup untuk menarik pelabur asing dan memacu transformasi industri negara. Selain itu, pada tahun lepas, pelaburan langsung asing telah menurun sebanyak 56%. Jelaslah bahawa kerajaan PN sedang membuang waktu emas Malaysia.

Pihak berkepentingan seperti syarikat teknologi besar dan MyIX telah menyatakan kebimbangan mereka dan berkata bahawa Malaysia tidak memiliki kapal DP2 yang sesuai untuk syarikat teknologi gergasi untuk memperbaiki kabel laut serta pembatalan pengecualian akan memaksa mereka bagi mempertimbangkan semula operasi mereka di Malaysia, apatah lagi meningkatkan pelaburan di Malaysia!

Sebaliknya, Singapura telah mendapat pelaburan sebanyak SGD130 juta pada Jun tahun lepas, jauh melebihi sasaran pelaburan SGD80 sehingga SGD100 juta yang dijangkakan oleh kerajaan Singapura tahun lepas!

Kini, Tencent, ByteDance (ibu pejabat TikTok), Alibaba, Huawei, Ctrip, Amazon, SenseTime, Facebook memilih Singapura sebagai batu loncatan mereka untuk mengembangkan pasaran di Asia Tenggara. Syarikat-syarikat ini merupakan pendorong pertumbuhan ekonomi bagi 10 tahun akan datang melalui pembinaan laboratorium serta pusat data.

Bahkan, pada tahun depan, Singapura akan melancarkan program “Tech.Pass” untuk menarik bakat terbaik dunia dalam teknologi untuk menyertai dan memperkaya ekosistem teknologi Singapura.

Namun, di bawah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional, Malaysia bukan sahaja kehilangan arah, malah pakej rangsangan ekonomi hanya mencakup potongan cukai. Tiada langkah tambahan yang ditawarkan untuk menarik pelabur asing dan bakat asing. Bagaimanakah kerajaan akan mencapai tujuannya untuk menarik syarikat 500 teratas dunia untuk memasuki pasaran Malaysia?

Malaysia bukan sahaja kekurangan langkah sokongan, malah membatalkan pengecualian dasar kabotaj untuk kapal asing bagi kerja pembaikan kerosakan kabel dasar laut. Hal ini menjejaskan persekitaran pelaburan Malaysia. Jika masalah ini berterusan, Malaysia akan menghadapi kekangan dalam transformasi industri dan penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi. Prospek Malaysia amat mengkhawatirkan!

Sumber Gambar Cover: Al Jazeera

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758