• Home
  • KRT dan Warga Penduduk Perlu Gembleng Tenaga Sejahterakan Kejiranan

KRT dan Warga Penduduk Perlu Gembleng Tenaga Sejahterakan Kejiranan

  1. Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Skudai harus mainkan peranan proaktif untuk menyemai semangat kekitaan dan kepunyaan dalam kalangan warga penduduk bagi memastikan matlamat kejiranan sejahtera dan selamat dapat diterjemah. 
  1. Aspek keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan di setiap kejiranan bersifat rantaian terangkum (inklusif) yang memberi kesan kepada warga penduduk. Sehubungan dengan itu, saya ingin menekankan bahawa KRT dan warga penduduk harus menggembleng tenaga bersama untuk memastikan kejiranan sentiasa bersih dan bebas daripada wabak penyakit. 
  1. Perkara tersebut dinyatakan semasa saya merasmikan Program Gotong-Royong Perdana anjuran KRT Zon Makmur dengan penglibatan agensi rentas peranan. Program dengan pengisian aktiviti pembersihan kejiranan bersama warga penduduk Taman Damai Jaya diadakan bagi membanteras penularan kes demam denggi yang telah memberi impak positif dengan kejayaan mencapai sifar denggi daripada 28 kes demam denggi yang dicatatkan sebelum ini. 
  1. Ditekankan juga soal kebersihan di setiap kejiranan terutama melibatkan plot-plot yang berpotensi menjadi sumber pembiakan nyamuk Aedes seperti takungan air jernih dan pengairan air longkang tersumbat harus dibersihkan secara berkala oleh warga penduduk sama ada atas inisiatif sendiri atau melalui aktiviti gotong-royong sedemikian. 
  1. Warga penduduk selaku pemilik kediaman juga diingatkan untuk tidak mengambil tindakan kacau ganggu ke atas rizab longkang dengan kerja-kerja pengubahsuaian kediaman yang menjadi punca pengairan longkang terjejas akibat menghalang kerja-kerja pembersihan untuk dilaksanakan oleh pihak berkaitan. 
  1. Justeru itu, KRT perlu menjadi mata dan telinga warga penduduk dan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan pemilik kediaman mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Manakala, pemilik kediaman pula perlu berlapang dada untuk merujuk kepada pihak berkuasa tentang sebarang prosedur khususnya membabitkan kerja-kerja ubah suai kediaman masing-masing.
  1. Dalam hal tersebut, saya ingin memberi perhatian tentang keperluan pemilik premis kediaman untuk merujuk, memaklum dan memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Tempatan sebelum memulakan sebarang kerja pengubahsuaian kediaman. Langkah tersebut diperlukan untuk mengelak daripada berlakunya pelanggaran peraturan lantas berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan yang menyulitkan pemilik kediaman.
  1. Sebarang kerja pengubahsuaian yang tidak selari dengan peraturan menjadi punca rantaian masalah antaranya seperti menjejaskan kebersihan longkang sehingga menjadi plot pembiakan nyamuk Aedes dan menularkan demam denggi kepada warga penduduk. Oleh yang demikian, semua pihak terutama warga penduduk perlu peka dan beri perhatian kepada sebarang tindakan pengubahsuaian dilaksanakan.

Sumber Gambar Cover: Health Insure Savvy

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758