• Home
  • KERENAH TEKNIKAL JADI ALASAN TOLAK USUL PENGECUALIAN CUKAI RUMAH KOS RENDAH

KERENAH TEKNIKAL JADI ALASAN TOLAK USUL PENGECUALIAN CUKAI RUMAH KOS RENDAH

  1. Saya merujuk kenyataan YAB Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad berhubung penolakan usul Pengecualian Cukai Harta Rumah Kos Rendah diusulkan oleh Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Pekan Nenas, Sdr. Yeo Tung Siong semasa Sidang Dewan Negeri Johor yang disifatkan sebagai sekadar kerenah teknikal sahaja.
  1. Sehubungan itu, saya menyeru Kerajaan Negeri Johor meneliti kembali usul berpaksikan rakyat tersebut yang sekali gus bakal meringankan beban rakyat dalam keadaan sukar sekarang.
  1. Saya mengambil maklum pendirian beliau dan Kerajaan Negeri Johor bahawa usul ADUN Pekan Nenas tersebut yang bertentangan dengan Seksyen 134 dan 135 di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Kedua-dua peruntukan seksyen tersebut membataskan kelulusan Dewan Negeri Johor dan sebaliknya memerlukan langkah pindaan di peringkat Kerajaan Persekutuan.
  2. Saya juga cakna bahawa Dewan Negeri Johor tidak dapat menentukan sikap dan pendirian Kerajaan Tempatan. Oleh sebab itu, usul berkenaan dibawa di Dewan Negeri Johor bagi memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri Johor untuk berbincang dengan 16 Kerajaan Tempatan.



    Sumber: https://www.homebagus.my/index.php?ws=showproducts&products_id=4235901&lang=cn
  3. Namun begitu, kenyataan YAB Menteri Besar seakan mempamerkan sikap Kerajaan Perikatan Nasional yang tidak peduli untuk mengambil langkah perbincangan. Sikap sedemikian seperti mengabaikan kesukaran yang sedang dihadapi kelas masyarakat berpendapatan sederhana dan rendah akibat situasi wabak dan ekonomi semasa.
  4. Jikalau Kerajaan Negeri Johor menolak atas faktor teknikal, saya juga mengajak Kerajaan Negeri Johor agar mempertimbangkan kembali usul khas berkenaan dengan membaca bersekali Seksyen 9 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang membenarkan Kerajaan Negeri memberi arahan kepada Kerajaan Tempatan bagi melaksanakan dasar Kerajaan Negeri.
  5. Sehubungan itu, hujah YAB Menteri Besar bahawa Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa adalah meleset sama sekali kerana akta yang sama juga memerlukan Kerajaan Negeri untuk membenarkan Kerajaan Tempatan menetapkan kadar cukai harta di bawah Seksyen 127.
  6. Lantaran itu, Kerajaan Negeri berhak meminta Kerajaan Tempatan untuk mengurangkan atau mengecualikan cukai harta rumah kos rendah melalui peruntukan undang-undang di atas semasa belanjawan mereka diserahkan untuk kelulusan Kerajaan Negeri.
  7. Sebagai pencerahan, Dasar Pengecualian Bayaran Lesen Penjaja semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan di negeri Johor hampir dua tahun lalu. Contoh lain yang boleh dirujuk seperti pengecualian bayaran lesen perniagaan semasa pentadbiran Perikatan Nasional dan langkah Kerajaan Negeri Selangor serta Terengganu yang mengecualikan cukai hartanah perumahan kos rendah melalui pemberian subsidi kepada Kerajaan Tempatan berdasarkan hasil yang diperoleh sekali gus tidak memberi kesan kepada perkhidmatan yang disediakan.
  8. Contoh kaedah tersebut jelas membolehkan Kerajaan Negeri menggunakan kuasa yang diperuntukkan untuk bekerjasama bagi melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Negeri.
  9. Kerajaan Negeri Johor berdasarkan jumlah rizab yang meningkat ketara sepanjang tempoh 22 bulan pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan daripada RM700 juta kepada RM3.2 bilion mampu melaksanakan usul dan dasar tersebut dalam ketidaktentuan ekonomi semasa. Kerajaan Negeri juga boleh menarik kembali dasar berkenaan sebaik keadaan ekonomi pulih seperti sediakala.
  10. Oleh itu, saya menyeru YAB Menteri Besar Johor dan YB EXCO yang bertanggungjawab ke atas Kerajaan Tempatan untuk mengemudi rundingan membabitkan 16 Kerajaan Tempatan bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang terendah pada ketika ini. Kerenah teknikal hanya sekadar alasan yang tidak menyelesaikan permasalahan rakyat.

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758