• Home
  • Kerajaan Persekutuan Perlu Kemuka Cadangan Ganti Projek HSR dan Naiktaraf Jaringan Pengangkutan Negeri Johor

Kerajaan Persekutuan Perlu Kemuka Cadangan Ganti Projek HSR dan Naiktaraf Jaringan Pengangkutan Negeri Johor

Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional perlu segera mengemukakan cadangan penggantian pembangunan infrastruktur pengangkutan susulan penamatan perjanjian dua hala projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negeri Johor dan meningkatkan kesalinghubungan serantau.

Barisan Ahli Pembangkang Dewan Negeri Johor akan mengemukakan cadangan pembangunan jaringan infrakstruktur pengangkutan di kawasan yang terlibat kepada Menteri Besar Johor, YAB Datuk Hasni Mohammad dalam masa terdekat demi kesejahteraan keseluruhan Bangsa Johor.

Negeri Johor telah menjadi penyumbang keempat dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan dengan nilai RM134 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Namun begitu, jaringan infrastruktur pengangkutan tidak menterjemahkan sumbangan pacuan ekonomi berkenaan.

Malah, kelemahan jaringan sistem pengangkutan di negeri Johor telah ditekankan menjadi teras dan tumpuan oleh Kerajaan Negeri Johor melalui Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 yang memangkin pembangunan ekonomi berdaya tahan sekali gus memberi limpahan kemakmuran kepada negeri Johor dalam tempoh 10 tahun mendatang.

Koridor pantai barat yang merangkumkan daerah Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat dan Muar memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri Johor. Walau bagaimanapun, infrastruktur pengangkutan yang terkebelakang di kawasan tersebut secara tidak langsung merencatkan usaha untuk mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana (IKS).

Lantaran itu, jaringan infrastruktur pengangkutan negeri Johor perlu disegerakan bagi memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi. Laluan Persekutuan 5 dan Lebuhraya Utara-Selatan dua lorong di negeri Johor kebanyakannya tidak lagi mampu menampung keperluan malah merencatkan pengurusan logistik akibat perlu menghadapi masalah kesesakan yang serius.

Dalam pada itu, umum juga perlu ketahui bahawa sebarang penjajaran semula projek HSR tanpa melibatkan Singapura dan berakhir di Johor Bahru dibimbangi bakal menjadi projek gajah putih kerana tiada sebarang daya tarikan dan impak ekonomi serantau. Perlu diperjelaskan bahawa daya tarikan utama projek HSR adalah menjimatkan masa pengangkutan penumpang melalui pengenalan sistem pemeriksaan rentas sempadan bersepadu (joint boundary clearance).

Seramai lapan orang anak Johor yang menganggotai jemaah menteri dan timbalan menteri di peringkat Persekutuan perlu memainkan peranan dan mengambil peluang untuk menggesa Kerajaan Persekutuan melaksanakan segera langkah transformasi jaringan infrastruktur pengangkutan di negeri Johor.

Sehubungan itu, pihak Kerajaan didesak untuk merancang dan melaksanakan langkah menaiktaraf di jaringan infrastruktur sedia ada dalam meningkatkan kecekapan logistik dan kesalinghubungan ekonomi serantau sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Johor yang pesat.

Dikeluarkan bersama pada 1hb Januari 2021 (Jumaat) oleh:

Tan Hong Pin, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Skudai,
Chew Chong Sin, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Mengkibol,
Yeo Tung Siong, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Pekan Nenas,
Ng Yak Howe, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Bentayan,
Gan Peck Cheng, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Penggaram.

Sumber Gambar Cover: Laman Web Rasmi Tan Hong Pin

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758