• Home
  • Kerajaan Negeri Perlu Lancar Rancangan Pemulihan Ekonomi untuk Selamatkan Ekonomi

Kerajaan Negeri Perlu Lancar Rancangan Pemulihan Ekonomi untuk Selamatkan Ekonomi

Kerajaan Negeri Johor harus segera melancarkan rancangan pemulihan ekonomi yang menyeluruh untuk meringankan impak pandemik terhadap ekonomi Johor.

Kerajaan Negeri baru-baru ini telah mengemukakan tujuh inisiatif untuk memulihkan ekonomi pasca pandemik, namun setelah diperhatikan, rancangan tersebut mengulangi idea-idea lama yang tidak berkesan.

Jawatankuasa Reformasi Ekonomi Negeri (SERC), yang ditubuhkan pada 15 April masih belum mengumumkan sebarang rancangan. Kerajaan sepatutnya memperkuat fungsi jawatankuasa ini dan segera melaksanakan pakej rangsangan ekonomi yang lebih efektif, bukan sekadar membentuk satu lagi jawatankuasa yang berfungsi serupa dengan Majlis Ekonomi Ibrahim Johor (IJEC).

Selain itu, kami mendapati kebanyakan daripada 10 anggota IJEC adalah wakil kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta think-tank dan kekurangan wakil daripada sektor swasta. Ini menyebabkan masalah sebenar rakyat tidak dapat difahami. 

Pembentukan jawatankuasa seperti ini sepatutnya bertujuan untuk memberikan cadangan konstruktif kepada kerajaan untuk merangsang ekonomi Johor, namun struktur ini lebih menyerupai mesyuarat antara jabatan yang tidak dapat mencapai tujuan penubuhan majlis secara efektif. 

Kerajaan harus mengatur semula majlis dan melantik wakil dari kesatuan sekerja, persatuan perniagaan dan wakil daripada parti pembangkang untuk memastikan cadangan jawatankuasa mencerminkan keperluan rakyat dan pasaran.

Tidak dapat dinafikan bahawa syarikat berkaitan kerajaan memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan, namun, sektor swasta hanya mempunyai satu wakil yang merupakan wakil daripada sektor hartanah, bagaimana ini dapat mewakili suara kebanyakan pengusaha swasta?

Johor mempunyai kira-kira 110,000 perusahaan kecil dan sederhana yang memainkan peranan penting dalam menyediakan pekerjaan. Oleh itu, apa sebab wakil-wakil daripada organisasi yang tersohor seperti Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) Johor, Persatuan SME Johor, The Real Estate and Housing Developers’ Association (REHDA) Malaysia, Malaysia Budget & Business Hotel Association – Mybha Johor Chapter, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tinghoa Johor Bahru (JBCCCI) tidak termasuk dalam senarai ahli untuk menambah kepelbagaian wakil dan membolehkan kerajaan negeri merumuskan rancangan pemulihan ekonomi yang lebih menyeluruh?

Kami juga mendapati think-tank UMNO, “Bait Al Amanah”, termasuk sebagai ahli dalam IJEC. Menurut Menteri Besar sebelum ini, Khaled Nordin, “Bait Al Amanah” adalah think-tank UMNO Johor yang bertujuan untuk mentransformasikan UMNO. Pelantikan think-tank UMNO sebagai salah satu ahli majlis menunjukkan UMNO terus mengamalkan amalan lama yang tidak memisahkan parti dan kerajaan dan membiarkan kekuatan politik meresap ke dalam sistem pentadbiran.

Johor, sebagai negeri yang terpenting di selatan dan bersempadan dengan Singapura, menghadapi situasi di mana rakyatnya yang bekerja di sektor perkhidmatan Singapura mengalami kehilangan pekerjaan akibat pandemik. Mereka memerlukan kerajaan yang empati dan berintegriti untuk memimpin pemulihan ekonomi rakyat.

Rakyat memerlukan kerajaan yang menyelesaikan masalah, bukan yang mencipta masalah. Oleh itu, saya menggesa kerajaan negeri untuk mengambil langkah jangka pendek dan jangka panjang yang diperlukan untuk memulihkan ekonomi, bukan sekadar mengulangi kata-kata tanpa tindakan.

Sumber Gambar Cover: Wikipedia Bahasa Melayu

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758