• Home
  • Kerajaan Negeri Perlu Halang Kebocoran Maklumat Peribadi Pemohon Bantuan Kebajikan

Kerajaan Negeri Perlu Halang Kebocoran Maklumat Peribadi Pemohon Bantuan Kebajikan

Permohonan Bantuan Ihsan Johor melibatkan maklumat peribadi termasuk maklumat perbankan dan privasi individu. Oleh itu, saya menggesa Kerajaan Negeri Johor memperkuat proses permohonan yang sedia ada untuk memastikan hak privasi maklumat peribadi rakyat terjamin.

Pertama sekali, saya mengalu-alukan inisiatif apa jua oleh Kerajaan Negeri Johor yang memberikan bantuan kepada keluarga yang terjejas oleh pandemik, termasuk sebahagian rakyat Johor yang tidak menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Namun, Kerajaan Negeri Johor harus mengambil langkah yang berkesan untuk memelihara keselamatan mekanisme permohonan dan memastikan maklumat peribadi rakyat dilindungi. Salah satu risiko dalam mekanisme permohonan adalah terdapat banyak saluran permohonan, termasuk pejabat daerah, kerajaan tempatan dan pejabat ahli dewan negeri. Saluran permohonan yang banyak dan jumlah pemohon yang besar pasti melibatkan lebih banyak tenaga kerja untuk mengendalikan permohonan. Ini akan mengurangkan ketelitian dalam mengendalikan data peribadi rakyat dan  memperbesar risiko kebocoran maklumat peribadi.

Situasi ini akan menjadi lebih rumit dengan campur tangan pelbagai kekuatan politik dan meningkatkan kesulitan dalam melindungi keselamatan maklumat peribadi rakyat. Sebagai contoh, wakil parti MCA kini juga memiliki kuasa untuk mengumpul dan mengendalikan maklumat permohonan rakyat. 

Kerajaan Negeri Johor harus meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) yang ada untuk mengendalikan permohonan dan menetapkan SOP yang lebih ketat bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan maklumat peribadi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Pada masa yang sama, kerajaan juga harus menetapkan langkah dalam SOP untuk menghalang campur tangan politik demi melindungi maklumat peribadi rakyat daripada digunakan untuk kepentingan politik oleh mana-mana pihak.

Selain itu, ketika kami mengakses sistem permohonan Bantuan Ihsan Johor yang disediakan oleh kerajaan negeri, kami mendapati beberapa pelayar yang menghalang kami daripada memasuki laman web dengan alasan tiada sijil keselamatan. Saya bimbang dengan keadaan ini kerana keselamatan laman web permohonan tidak terjamin, terdapat kemungkinan bahawa situasi ini akan meningkatkan risiko serangan penggodam dan mengakibatkan kebocoran maklumat peribadi. Saya menggesa kerajaan negeri untuk mengambil serius masalah ini dan mengambil langkah yang diperlukan bagi meningkatkan keselamatan laman web permohonan.

Mungkin ramai yang tidak memperdulikan isu perlindungan maklumat peribadi. Namun, dengan peningkatan kes penipuan wang, ramai rakyat yangmenjadi mangsa penjualan maklumat peribadi oleh pedagang. Oleh itu, isu perlindungan maklumat peribadi tidak boleh diabaikan.

Saya juga menggesa Kerajaan Negeri untuk menolak kuasa politik kerana ini bukan sahaja mencerminkan gaya konsisten Kerajaan Negeri Perikatan Nasional yang membiarkan politik mengatasi profesionalisme dan mengikis autonomi pegawai awam, tetapi juga meningkatkan beban pegawai awam selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Marilah kita berganding bahu dan melindungi keselamatan maklumat peribadi rakyat demi mengelakkan risiko penyalahgunaan, selain mengurangkan tekanan kepada pegawai awam. Jangan biarkan  parti-parti politik mendatangkan keburukan kepada rakyat yang memerlukan bantuan dan saya menggesa kerajaan untuk  benar-benar memanfaatkan program untuk kebajikan rakyat.

Sumber Gambar Cover: Permohonan.my

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758