• Home
  • Kerajaan Negeri Johor perlu perincikan butiran Sistem One Stop Center 3.0 Plus Online

Kerajaan Negeri Johor perlu perincikan butiran Sistem One Stop Center 3.0 Plus Online

  1. Saya menggesa agar Kerajaan Negeri Johor memperincikan butiran berhubung perlaksanaan Sistem One Stop Centre 3.0 Plus Online di bawah Program Digitalisasi PBT Johor dalam meningkatkan kecekapan tadbir urus Kerajaan Tempatan sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor dalam pembentangan usul Belanjawan Negeri Johor 2021.
  1. Langkah meneruskan pendigitalan PBT yang diusahakan kerajaan terdahulu amat disambut baik namun menimbulkan kebimbangan sekiranya inisiatif tersebut menjadi gajah putih dengan membangunkan sebuah sistem serba baharu. 
  1. Untuk rekod, inisiatif pendigitalan PBT telah bermula di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional melalui pelaksanaan sistem e-PBT yang bernilai RM41.74 juta pada tahun 2010. Daripada jumlah tersebut, Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM9.94 juta manakala bakinya sebanyak RM31.8 juta diperuntukkan oleh PBT. 
  1. Peralihan pentadbiran kepada Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018 tidak menghenti atau merombak keseluruhan inisiatif berkenaan yang hanya dimanfaatkan sebanyak 70 peratus sahaja dengan membabitkan lima (5) PBT sahaja menyediakan platform pembayaran cukai dan kompaun secara dalam talian (online) sepanjang tempoh lapan (8) tahun pelaksanaannya.
  1. Dapatan tersebut telah menjadi penanda aras bagi pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan memperkukuh dan melengkapkan sistem e-PBT berkenaan serta menekankan keperluan penggunaan kesemua modul sistem e-PBT dalam meningkatkan tadbir urus kerajaan tempatan. 
  1. Suka untuk saya kongsikan kepada umum bahawa sepanjang tempoh tahun pertama pentadbiran Kerajaan PH, peratusan penggunaan modul sistem e-PBT telah melebihi 80% dengan menyaksikan sebanyak sembilan (9) PBT telah menyediakan sistem e-khidmat yang merangkumkan perkhidmatan pembayaran cukai pintu, kompaun, pembaharuan lesen perniagaan dan penempahan kemudahan PBT secara dalam talian. 
  1. Saya ingin menekankan bahawa sistem e-PBT yang telah mencecah usia 10 tahun melalui tiga pentadbiran Kerajaan yang berbeza. Namun, penggunaan modul sistem e-PBT masih belum mencapai tahap 100 peratus dan berdasarkan rekod sebelum ini, sebahagian PBT masih belum selesai melalui proses pemindahan data.
  1. Justeru itu, saya mohon mendapatkan penjelasan Kerajaan Negeri Johor tentang langkah yang diambil bagi mendapatkan kerjasama daripada seluruh PBT dalam kadar segera untuk memastikan rakyat menerima manfaatnya.
  1. Saya juga mahu mengambil perhatian Kerajaan Negeri Johor dan umum bahawa pendigitalan PBT di negeri Johor terlalu lewat dan terkebelakang meskipun telah bermula sejak 10 tahun lalu yang menyaksikan pembaziran sumber bagi tujuan pemindahan data, perkakasan dan latihan modal insan. 

Sumber: https://pbtpay.kpkt.gov.my/

  1. Lantaran itu, mampukah Kerajaan Negeri Johor mensisakan tempoh 10 tahun lagi bagi membangunkan sebuah sistem e-PBT baharu semula tatkala negara-negara jiran di rantau ini kini sedang melaksanakan pelbagai dasar berteknologi baharu untuk meningkatkan kecekapan tadbir urus? 
  2. Sehubungan itu, saya menggesa Kerajaan Negeri Johor untuk memperincikan terlebih dahulu program Digitalisasi PBT Johor dan Sistem One Stop Center 3.0 Plus Online yang diumumkan tersebut. Seterusnya, saya menyarankan agar Kerajaan Negeri Johor menambahbaik sistem sedia ada berbanding membazirkan sejumlah wang pembayar cukai sekali gus memastikan usaha pendigitalan berkesan serta memberi manfaat kepada rakyat.

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758