• Home
  • Kerajaan Harus Berikan Perhatian dan Bantuan kepada Pemandu Teksi

Kerajaan Harus Berikan Perhatian dan Bantuan kepada Pemandu Teksi

Pendapatan pemandu teksi telah terjejas semasa pandemik. Saya menyeru Kerajaan Negeri Johor untuk memberi perhatian kepada kesukaran yang dihadapi oleh pemandu teksi dan memberi bantuan yang diperlukan kepada mereka.

Baru-baru ini, saya telah memberi bantuan makanan kepada 34 orang pemandu teksi di Skudai Parade untuk membantu mereka mengharungi situasi yang mencabar ini.

Di bawah sekatan ketat yang dikenakan, pelbagai sektor termasuk pemandu teksi mengalami kesan yang besar kerana mereka bukan sahaja kehilangan sumber pendapatan, tetapi juga perlu menanggung kos operasi seperti memperbaharui lesen dan insurans kenderaan. Ini menambah kesukaran mereka.

Walaupun pemandu teksi telah menerima beberapa bantuan RM500 iaitu Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Pakej Bantuan Memperkasa Rakyat & Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+), serta Bajet Negeri Johor 2021, bantuan seperti ini hanya bersifat sementara. Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, kebajikan pemandu teksi telah diabaikan.

Saya berharap kerajaan Negeri Johor dapat mencontohi kerajaan Negeri Selangor dengan menyediakan bantuan makanan selama sekurang-kurangnya 6 bulan untuk membantu mereka mengharungi situasi yang mencabar ini.

Walaupun persidangan Dewan Undangan Negeri ditangguhkan, Johor telah berjaya memperoleh 2 juta dos vaksin pada bulan Ogos. Kini, jumlah vaksinasi harian telah meningkat kepada lebih daripada 60,000 dos sehari dan mencecah 70,000 dos semalam.

Saya berharap program vaksinasi Johor dapat diteruskan dengan kadar sebegini. Saya juga mengharapkan pencapaian sasaran 50 peratus populasi dewasa yang telah menerima dua dos suntikan vaksin dengan kadar segera kerana ini akan membuka lebih banyak sektor industri.

Sumber Gambar: Laman Web Rasmi Tan Hong Pin

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758