• Home
  • Kenaikan Jumlah Vaksinasi di Johor, Masyarakat Diseru Periksa MySejahtera

Kenaikan Jumlah Vaksinasi di Johor, Masyarakat Diseru Periksa MySejahtera

Dengan peningkatan jumlah vaksinasi di Johor, ramai warga emas akan mendapat janji temu untuk vaksinasi. Saya menyeru individu yang berumur 60 tahun dan ke atas untuk sering memeriksa aplikasi MySejahtera untuk memeriksa sama ada terdapat waktu janji temu suntikan vaksin.

Setelah tujuh bulan setengah, jumlah vaksinasi di Johor semalam akhirnya menujukkan trend yang positif dengan mencapai 30,000 dos.

Secara purata, jumlah vaksinasi di Johor selama 7 hari yang lepas adalah sebanyak 22,371 dos. Namun, jumlah ini masih perlu ditingkatkan kerana Johor antara negeri di kedudukan tercorot.

Johor berada di kedudukan negeri ketiga terakhir di Malaysia bagi jumlah suntikan vaksin dos pertama dan dos kedua. Kadar vaksinasi harus ditingkatkan ke 50,000 dos sehari untuk mempercepat pemberian vaksin dan mencapai imunisasi kelompok pada awal Oktober. 

Baru-baru ini, Johor telah menambah empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan memindah dua PPV, termasuk PPV di UTHM, Labis, UTM Skudai, Southkey Midvalley dan Dewan Serbaguna Taman Mawar Pasir Gudang untuk meningkatkan kadar vaksinasi. Saya harap dengan operasi PPV bermula minggu depan, Johor akan mencapai sasaran 40,000 suntikan vaksin sehari.

Johor Bahru harus dijadikan fokus untuk meningkatkan kadar vaksinasi. Johor Bahru merupakan pusat ekonomi kedua terbesar selepas Lembah Klang dan 50 peratus populasi Johor berada di Johor Bahru. Namun, menurut data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor, setakat 11 Julai, kadar vaksinasi di Johor Bahru berada di tangga tercorot di Johor kerana terdapat sekurang-kurangnya 95,000 orang atau 53.4% warga emas yang belum divaksinasi.

Pada masa ini, dianggarkan secara kasar jumlah vaksinasi Johor Bahru boleh mencapai sekurang-kurangnya 7,000 dos sehari. Kadar vaksinasi dijangka meningkat kepada 10,000 dos sehari pada minggu depan kerana terdapat beberapa PPV yang akan beroperasi secara skala besar. Saya percaya bahawa ramai warga emas yang akan bermanfaat daripada ini.

Oleh itu, saya menyeru warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas supaya sering memeriksa MySejahtera dalam tempoh tiga minggu ini untuk menyemak sama ada terdapat waktu janji temu suntikan vaksin. Sejak pandemik, Pusat Komuniti Skudai telah membantu lebih daripada 2,500 orang untuk mengesan dengan Jabatan Kesihatan dan mendapatkan suntikan vaksin.

Pusat Komuniti Skudai juga telah melancarkan bantuan pengangkutan percuma ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk penduduk Skudai, terutamanya golongan warga emas miskin yang tinggal sendirian dan orang kurang upaya (OKU). Bagi mereka yang perlukan perkhidmatan ini, sila hubungi atau WhatsApp ke talian 010-5351758 / 012-5141758 dua hari sebelum waktu janji temu.

Sumber Gambar Cover: Laman Web Rasmi Tan Hong Pin

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758