• Home
  • Jawatankuasa Isu Banjir Skudai Gabungkan Usaha Rentas Agensi

Jawatankuasa Isu Banjir Skudai Gabungkan Usaha Rentas Agensi

Sebuah Jawatankuasa Isu Banjir Skudai akan dan perlu segera ditubuhkan dengan pembabitan agensi rentas peranan. Jawatankuasa ini harus gabungkan usaha bagi menyelesaikan masalah yang membebankan mangsa terjejas banjir.

Hujung minggu lalu, lokasi berisiko banjir seperti Jalan Makmur, Taman Damai Jaya, Kg. Batu 10, Lorong Aris Kg. Batu 8 1/2 dan Kg. Laut telah sekali lagi dilanda musibah banjir setelah hujan berpanjangan seharian. Susulan itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan bagi menempatkan mangsa yang terjejas.

Banjir di Skudai merupakan isu yang sudah berlarutan untuk sekian lama. Justeru, sebuah jawatankuasa khusus bagi mencari mekanisme jangka pendek dan panjang harus segera bertemu membabitkan pelbagai agensi rentas peranan dan penduduk akar umbi. Saya sendiri sedia untuk menganggotai jawatankuasa berkenaan.

Untuk makluman, masalah banjir di lokasi berisiko tersebut telah dibangkitkan semasa Sidang Dewan Negeri Johor pada 30 November 2020 lalu. Maklum balas yang diterima bukan bersifat tuntas sebaliknya sekadar menyentuh soal peruntukan tidak mencukupi dan kerjasama dengan Kementerian Pertahanan bagi membina kolam takungan air.

Malah, isu banjir besar melanda Skudai pada awal tahun ini berada dalam aturan perkara untuk dibangkitkan Sidang Dewan Negeri Johor yang sepatutnya bersidang pada bulan Mac lalu. Namun, ketiadaan sidang dewan mahupun sidang alternatif akibat darurat telah merencatkan usaha tersebut sekali gus melengahkan langkah penyelesaian.

Justeru itu, sebagai permulaan, saya akan membawa cadangan penubuhan jawatankuasa ini kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan susulan. Dalam pada itu, saya juga akan bertemu dengan penduduk yang terjejas banjir bagi mengumpul pandangan dan maklumat berkaitan.

Mekanisme penyelesaian seperti penambahbaikan sistem pengairan dan saliran, penawaran program perumahan rakyat (PPR) dan kemudahan kolam takungan air antara langkah boleh dibincang dan dipertimbangkan secara bersama melalui jawatankuasa tersebut.

Sumber Gambar Cover: Laman Web Rasmi Tan Hong Pin

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758