• Home
  • Hentikan Permainan Taktik, Segera Laksana Akta Anti Lompat Parti

Hentikan Permainan Taktik, Segera Laksana Akta Anti Lompat Parti

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Dr Wan Junaidi, mengesahkan bahawa sidang khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 April akan menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti-Lompat Parti. Saya kecewa dengan keputusan kabinet ini dan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar tidak bermain dengan taktik yang mencabar kesabaran rakyat lagi.

Berdasarkan jawapan Wan Junaidi di Parlimen sebelum ini, sejak tahun 2018, terdapat 39 Ahli Parlimen yang melompat parti. Ini menyebabkan ketidakstabilan politik di mana pentadbiran kerajaan Persekutuan yang telah bertukar tiga kali dalam empat tahun. Hak rakyat dijejaskan apabila polisi negara tidak tetap dan tidak terurus.

Jelaslah bahawa  untuk mengembalikan kestabilan politik, pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti sangat diperlukan dan tidak sepatutnya ditangguhkan lagi atas sebarang alasan.

Wan Junaidi berkata, Akta Anti Lompat Parti telah dibincangkan selama 5 bulan, dan sudah 6 bulan  Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara Parti  dimeterai. Namun, kini kerajaan masih menangguhkan atas alasan kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’ diperlukan. Sukar bagi rakyat mengharapkan kerajaan Perikatan Nasional yang tidak efisien ini mendorong negara mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

Ramai yang kecewa dengan perbuatan lompat parti yang berlaku dan benci politik sarkas. Parti-parti politik utama Malaysia seperti UMNO, Pakatan Harapan (PKR, DAP, Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia, dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia semua menyokong pembentangan Akta Anti Lompat Parti. Namun, pembentangan akta tersebut di Parlimen sekali lagi dan hal ini  sangat mengecewakan rakyat.

Perdana Menteri diingatkan untuk menunjukkan  kematangan politik dan keberanian supaya mematuhi MoU kerjasama antara Parti. Cukuplah dengan permainan taktik. Pindaan Perlembagaan larangan bertukar parti harus dipercepat untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi Malaysia.

Sumber Gambar Cover: The Star

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758