• Home
  • Halatuju Terkini Majlis Rendah Karbon Johor

Halatuju Terkini Majlis Rendah Karbon Johor

Bersempena sambutan Hari Bumi Sedunia pada hari ini, 22 April, saya ingin menarik perhatian pihak Kerajaan Negeri Johor tentang halatuju terkini Majlis Rendah Karbon Johor (Johor Low Carbon Council, JLCC) yang ditubuhkan oleh pentadbiran terdahulu dalam usaha kita melestarikan alam sekitar seiring dengan keperluan pembangunan negeri Johor.

Tanda tanya halatuju JLCC ini timbul tatkala Kerajaan Persekutuan dilaporkan telah menggariskan enam pendekatan bagi mendepani perubahan iklim melalui Majlis Tindakan Perubahan iklim (MyCAC) yang juga komited terhadap pengurangan pelepasan karbon.

Oleh itu, JLCC yang dikemudi oleh sekretariat bersama membabitkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), PLANMalaysia Johor dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) mampu menjadi platform bagi merangka, menetap dan menasihatkan Kerajaan Negeri Johor dalam pembentukan masyarakat rendah karbon (low carbon society).

Malahan, JLCC juga boleh menjadikan Pusat Penyelidikan Rendah Karbon Asia yang berpusat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai sebagai gedung rujukan bagi menjayakan enam pendekatan tersebut dan seterusnya menterjemah sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals 2030) di Johor.

Sebagai langkah awal, saya menggesa agar pihak Kerajaan Negeri untuk menetapkan segara halatuju rendah karbon melalui dasar dan tindakan seperti berikut:

  1. Penguatkuasaan larangan penggunaan penyedut minuman plastik, plastik sekali guna dan bekas makanan/minuman polisterina
  2. Memperkenalkan caj pencemaran bagi penggunaan plastik sekali guna (single-use plastic) sebagai melengkapi larangan penggunaan plastik sekali guna.
  3. JLCC juga harus meneroka dan mengkaji kebolehlaksanaan perdagangan karbon di negeri Johor selari dengan langkah Kerajaan Persekutuan yang bakal menelitinya kelak.

Pihak Kerajaan Negeri Johor wajar menjadikan JLCC sebagai titik tumpu (focal point) PBT, agensi awam, pemain industri, ahli akademik dan masyarakat akar umbi dalam menjayakan agenda masyarakat rendah karbon dan seterusnya mendepani perubahan iklim dunia. Penghayatan sambutan Hari Bumi Sedunia tidak sempurna setakat ucapan dan harapan tanpa sebarang dasar dan halatuju yang jelas daripada pihak Kerajaan Negeri。

Sumber Gambar Cover: Yahoo News

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758