• Home
  • Data Terbuka dan Ketelusan Maklumat Sebagai Senjata Ampuh dalam Perang Menangani COVID-19

Data Terbuka dan Ketelusan Maklumat Sebagai Senjata Ampuh dalam Perang Menangani COVID-19

Saya menyeru kerajaan agar mengamalkan dasar data terbuka secara menyeluruh dalam masa tersingkat untuk membolehkan golongan profesional dan orang awam memanfaatkan data-data berkenaan Pandemik Covid-19.

Baru-baru ini Malaysia dilanda gelombang kedua kes-kes Covid-19. Melihat peningkatan bilangan kes yang kina mencecah ratusan tiap-tiap hari, rakyat berasa bimbang dan gelisah.

Usaha Kementerian Kesihatan untuk menyebar maklumat secara terbuka amat penting untuk menenangkan keadaan dan memberi panduan yang sewajarnya kepada orang awam. Secara khusus, penjelasan yang profesional dan terbuka oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah melalui sidang media yang diadakan hampir setiap hari bukan sahaja memberi maklumat yang sahih dan terkini kepada rakyat malah memberi keyakinan kepada semua bahawa keadaan pandemik adalah terkawal.

Namun demikian, penyebaran maklumat melalui KKM dan sidang media sahaja adalah tidak mencukupi. Saya menggesa kerajaan mencontohi usaha-usaha yang telahpun dilakukan di Korea Selatan, Singapura dan negara-negara maju yang lain di mana data mengenai jangkitan Covid-19 dimuatnaik ke laman web secara terbuka sebagai inisiatif open data dan open government.

Ini bukan cadangan yang baru mahupun radikal. Kajian dari Khazanah Research Institute (KRI) telah lama menyokong dasar data terbuka dan kepentingannya dalam menangani krisis seperti Covid-19. Alasannya tidak sukar difahami.

Memandangkan krisis Covid-19 meyentuh semua bidang ekonomi dan seluruh rakyat, “usaha untuk menanganinya adalah kompleks dan kita perlu memanfaatkan collective intelligence (kepintaran kolektif). Data terbuka membolehkan semua lapisan masyarakat untuk bekerjasama secara berkesan”. Kajian yang sama juga mendapati Malaysia masih jauh ketinggalan dari segi indeks pentadbiran data terbuka berbanding dengan negara-negara di serantau.

Langkah pertama yang harus dilakukan oleh kerajaan dalam isu ini adalah dengan memuatnaik data yang terkini di laman web rasmi www.data.gov.my . Setakat enam petang hari ini, carian di portal data terbuka kerajaan tersebut dengan kata kunci ‘Covid’ ataupun ‘Coronavirus’ masih menunjukkan “TIADA data set dijumpai”.
Setelah sembilan bulan Malaysia berdepan dengan ancaman Covid-19, masih tiada data set lagi yang terbuka kepada orang awam. Ini tidak boleh diterima.

Seterusnnya, kerajaan wajar mengumumkan serta merta butiran pergerakan semua kes-kes positif (tanpa membongkarkan identiti pesakit untuk melindungi hak dan keperipadian mereka) bagi membolehkan orang awam menilai risiko pergerakan sendiri. Ia juga membenarkan pakar-pakar dalam bidang profesional tertentumembina aplikasi yang mungkin dapat membantu kita menilai risiko dan mendapat maklumat yang lebih sempurna.

Aplikasi kerajaan MySejahtera yang kini digunakan secara meluas boleh dipertingkatkan fungsinya untuk menyokong inisiatif dataterbuka.

Akhir sekali, data terbuka amat penting dalam menghadapi cabaran berita palsu.Tiap-tiap minit di media sosial ada sahaja maklumat tidak sah atau yang palsu sama sekali tentang perkembangan Covid-19. Pejabat saya dan wakil-wakil rakyat
lain semua dibanjiri dengan pertanyaan orang awam berkenaan sama ada benar telah berlaku jangkitan Covid-19 di sesebuah sekolah, ataupun di kawasan kediaman mereka dan sebagainya. Sudah tentu pejabat kesihatan dan pihak berkuasa lain turut dibanjiri dengan pertanyaan-pertanyaan tersebut dari masa ke semasa.

Mustahil dapat kita layani setiap pertanyaan tersebut. Cara yang paling berkesan untuk mengelakkan berita palsu berleluasa adalah dengan menerbitkan maklumat dan data secara telus, terbuka dan menyeluruh.

Sumber Gambar Cover: Laman Web Rasmi Tan Hong Pin

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758