• Home
  • Amalan Pemberian Habuan Melibatkan Pegawai Ahli Yang Berhormat Harus Dihentikan

Amalan Pemberian Habuan Melibatkan Pegawai Ahli Yang Berhormat Harus Dihentikan

Saya ingin menegaskan bahawa para pegawai Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen adalah DILARANG menyalahguna peruntukan kawasan  mengambil sebarang habuan dan manfaat berbentuk komisen daripada peruntukan kawasan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Sebagai pencerahan, laporan berhubung pemberian komisen tersebut merupakan amalan dalam kalangan kontraktor dan pembekal yang dilantik oleh Pejabat Daerah dengan melencongkan 30 peratus daripada peruntukan.

Saya selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ini mengutuk amalan dan tindakan sedemikian. Malah, langkah meneruskan amalan yang tidak berintegriti ini akan merencatkan semangat Malaysia Baharu kelak.

Justeru itu, saya menyeru rakyat yang telah menggerakkan arus perubahan untuk terus aktif dalam memastikan Malaysia ini berwibawa dan berintegriti. Penglibatan aktif tersebut boleh diterjemah melalui tindakan melaporkan sebarang urusan mencurigakan membabitkan peruntukan yang disediakan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Pejabat Menteri Besar Johor.

Dengan merujuk kepada laporan semasa, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) tidak akan sesekali berkompromi malah komited untuk bertindak dengan tegas mengikut lunas-lunas perundangan yang sewajarnya. 

Mandat yang kukuh diberikan rakyat kepada Kerajaan PH bertitik punca kepada kebinasaan integriti sepanjang pentadbiran Barisan Nasional (BN) dengan berpaksikan kepada aspek bersih, amanah dan merakyat.

Penegasan ini juga selari dengan kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Sdr. Lim Kit Siang bahawa tindakan melencongkan peruntukan dalam bentuk komisen sedemikian adalah amalan terdahulu di bawah BN dan dilarang sama sekali pada hari ini, di bawah PH.

PH yang dipilih oleh rakyat secara demokratik pada tahun lalu harus berjiwa besar dalam membanteras amalan politik naungan, politik wang dan politik kotor.

Buat rakyat Johor, saya amat menggalakkan semua untuk berani tampil memantau dan melaporkan jika terdapat sebarang amalan meragukan yang bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undangan (rule of law). 

Mari bersama kita berganding bahu membersihkan tanah air tercinta daripada sebarang bentuk amalan yang mencemarkan selama 60 tahun ini.

Sumber Gambar Cover: Astro Awani

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758