• Home
  • Permudah Urusan Pembaharuan Pasport Rakyat Terkandas di Singapura

Permudah Urusan Pembaharuan Pasport Rakyat Terkandas di Singapura

Saya memandang serius isu kesesakan dan kesukaran proses pembaharuan pasport oleh rakyat Malaysia di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar Singapura, The Straits Times (18 Mac 2021, Khamis). Sehubungan itu, saya menyeru agar tindakan segera dan wajar perlu diambil oleh pihak Kerajaan bagi mengatasi kedua-dua permasalahan berkenaan.1

Soal pengurusan pembaharuan pasport berkenaan telah memaksa rakyat Malaysia di sanal beratur panjang malah telah berada di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia tersebut sebelum subuh. Malah, terdapat juga rakyat kita yang perlu beratur lebih daripada satu jam bagi urusan pengambilan pasport meskipun janji temu telah dibuat secara dalam talian.

Tambahan pula, saya juga amat prihatin terhadap rakyat kita di Singapura terutama sekali kanak-kanak dan warga emas yang tidak dapat memperbaharui pasport mereka secara dalam talian seperti dilaporkan akhbar tersebut. Situasi sedemikian sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mereka yang terkandas akibat penutupan sempadan sejak tahun lalu.

Merujuk kepada laporan tersebut, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura hanya membenarkan setakat 30 orang rakyat Malaysia untuk hadir mendapatkan perkhidmatan pembaharuan pasport. Kiraan saya mendapati bahawa pejabat pesuruhjaya tidak mampu. menampung beban kerja yang tinggi berbanding sekurang-kurangnya 500,000 orang rakyat Malaysia di Singapura.

Setelah setahun melalui Perintah Kawalan Pergerakan dan penutupan sempadan antarabangsa khususnya di sempadan Malaysia-Singapura, pihak Kerajaan masih belum bersedia dan menemukan penyelesaian tuntas bagi memudahkan urusan rakyat seperti pembaharuan pasport membabitkan mereka yang terkandas di luar negara.

Justeru itu, saya menyeru agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk meneroka dasar alternatif bagi memudahkan proses pembaharuan pasport sekali gus memenuhi permintaan yang tinggi membabitkan rakyat kita terkandas di luar negara.

Saya juga ingin menarik perhatian pihak Kementerian Luar Negeri (KLN) tentang jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura yang kosong sejak 11 bulan lalu dan memerlukan perlantikan baharu segera bagi melancarkan operasi pejabat pesuruhjaya berkenaan sekali gus memudahkan urusan rakyat Malaysia di Singapura.

Sumber Gambar Cover: The Star

  1. Pautan rujukan laporan: https://www.straitstimes.com/singapore/long- queues-at-malaysian-high-commission-in-singapore-leave-many-frustrated ↩︎

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758