• Home
  • DAP Merafak Sembah Dan Memohon Keampunan DYMM Sultan Johor Atas Kenyataan Tidak Sopan Seorang Ahli DAP Merangkap Ahli Majlis Daerah Pontian

DAP Merafak Sembah Dan Memohon Keampunan DYMM Sultan Johor Atas Kenyataan Tidak Sopan Seorang Ahli DAP Merangkap Ahli Majlis Daerah Pontian

Merujuk kepada isu yang tular berkenaan satu kenyataan (status) tidak sopan bahasanya di laman media sosial, Facebook pada 4 Januari 2019 oleh seorang ahli DAP merangkap Ahli Majlis Daerah Pontian, pihak DAP Negeri Johor memandang berat akan kenyataan tidak sopan itu disampaikan.

Kenyataan yang dimuatnaik oleh Sdr. Mohamad Kamarul Ariffin b. Harris Fadzillah menerusi akaun peribadi Facebook-nya tersebut diungkapkan dengan bahasa yang tidak sopan dan tidak menggambarkan sifat seorang rakyat yang menghormati institusi Diraja. 

Sebagai ahli parti dan Ahli Majlis, beliau seharusnya mengutamakan budi bahasa dan bersikap sopan santun serta perlu menjaga tatatertib berbahasa. 

Sungguhpun DAP teguh atas prinsip keluhuran perlembagaan yang sekaligus memperjuangkan kebebasan bersuara, namun prinsip dan perjuangan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk melahirkan kenyataan tanpa rasa tanggungjawab. Sebarang kenyataan yang dilahirkan harus mengikut etika diplomasi yang tinggi dan berintegriti. 

Semalam, DAP Negeri Johor telah dimaklumkan bahawa Ahli Majlis berkenaan telahpun memohon maaf di laman media sosial beliau dan memadamkan kenyataan yang tidak sopan tersebut. 

Sehubungan dengan itu, DAP Negeri Johor merafak sembah dan memohon keampunan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor khususnya dan seluruh rakyat amnya atas sikap tidak bertanggungjawab ahli kami yang berkelakuan tidak sopan terhadap institusi Raja Berperlembagaan. 

Sebagai sebuah parti yang menjadi anggota kerajaan, DAP sentiasa memantau tahap disiplin ahli-ahli dan wakil-wakil pimpinan di peringkat akar umbi semasa menjalankan khidmat mereka. 

DAP mengulangi pendirian untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan institusi raja berperlembagaan di samping memelihara keharmonian masyarakat demi mensejahterakan rakyat secara keseluruhannya. 

Sumber Gambar Cover: Bebas News

leave a comment

No. 20, Tingkat 2, Jalan Mega 1, Pusat Perdagangan Mega, Jalan Sakeh, 84000 Muar, Johor. tanhongpin.office@gmail.com +6010-535 1758 | +6012-514 1758